Orang kata, menggayakan kasut biarlah sepadan dengan usia. Begitu juga tidak semua kasut sesuai dan selamat buat anda. Ketahui jenis-jenis kasut yang sesuai dengan bentuk dan juga saiz kaki, serta panduan berguna membeli kasut dengan betul agar anda tidak merana kesakitan atau asyik perlu menukar dan memulangkannya.
JENIS KASUT
Kitten Heels boleh dianggap penyelamat hari anda jika anda bukan seorang yang suka terlalu berhias. Tumit yang tidak terlalu tinggi sesuai untuk digayakan dengan apa jua jenis pakaian. Ballet Pumps pula sesuai buat anda yang gemar mengenakan seluar jean bersama blaus kerana keselesaan tapak kasut itu sendiri yang rata. Kasut ballet ini mula popular setelah bintang Hollywood, Audrey Hepburn memakainya ketika filem Funny Face (1957). Sneakers atau kasut riadah merupakan kasut sukan yang mesti ada kerana ia membantu mengelak kesakitan dan menyokong keselesaan buat kaki anda apabila berjalan jauh.
Wedges atau kasut baji pula untuk anda yang mahu tampil tinggi tetapi berada di dalam keadaan selamat. Tapak yang tinggi tetapi rata ini memberi perjalanan anda kurang stres berbanding memakai kasut tumit tinggi seperti Stileto. Mules sering menjadi pilihan wanita kerana tampak punya kelas tersendiri. Malah kasut ini sesuai untuk semua majlis sama ada majlis formal, kenduri atau ke pejabat. Bertapak rata atau bertumit di mana bahagian depan ditutup tetapi terbuka di bahagian belakang pasti pernah ada di dalam almari setiap wanita.
PANDUAN BELI
Semestinya anda perlu memilih saiz kasut yang betul. Caranya dengan mengetahui bentuk kaki anda. Ada yang tapak kaki lebar dan panjang. Untuk pengetahuan anda, kedua-dua belah tapak kaki kita tidak sama kerana ia tidak begitu ketara jika dilihat dengan mata kasar. Biasanya kaki kanan lebih besar dan disebabkan itu, kebanyakan kasut yang dijual di pasaraya mempamerkan kasut kaki kanan. Elak memilih kasut yang ketat dengan menganggap kasut akan longgar apabila kerap pakai dan mudah muat apabila diregangkan.
Pastikan anda memilih kasut yang mempunyai ruang untuk jari-jari kaki anda apabila anda sedang berdiri. Apabila anda membeli kasut, jangan sekadar mencuba di depan cermin tetapi cuba untuk berjalan untuk mengetahui keselesaan apabila dipakai kelak. Sebaiknya, beli kasut pada waktu petang kerana saiz kaki akan mengembang pada waktu ini. Jika anda membeli kasut pada waktu pagi, saiz kaki ketika itu adalah kecil dan ini akan menyusahkan anda satu hari kelak.
Kasut cantik tidak mencukupi jika anda tidak pandai menjaga kaki anda. Memastikan kuku sentiasa pendek, tidak berbau dan tidak mengalami sebarang masalah adalah perkara utama buat wanita jika mahu lebih yakin saat melangkah keluar dari rumah.
No comments:
Post a Comment